Tuesday, June 22, 2010

Bertutur Bahasa Melayu Dimana Sahaja Anda Berada

LAIE (HAWAII), 21 Jun (Bernama) -- "Saya akan bercakap dalam Bahasa Malaysia jika ada peluang, tidak kira di mana saya berada. Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan saya".

Begitulah kata-kata Felix Tai, seorang penuntut di Brigham Young University (BYU) of Hawaii, Amerika Syarikat kepada penulis ketika ditemui di Perkampungan Samoa, Pusat Kebudayaan Polynesia(PCC) di sini baru-baru ini.

Sepanjang perbualan bersama penulis, Tai hanya bertutur dalam Bahasa Malaysia. Ini menunjukkan cinta beliau terhadap bahasa tersebut.

Tai, 23, penuntut tahun kedua Pengajian Pelancongan dan Hospitaliti di BYU berkata beliau akan bertutur dalam Bahasa Malaysia setiap kali terserempak rakan senegara yang mengunjungi pusat tersebut.

Beliau bekerja secara sambilan di pusat tersebut.

Anak kedua daripada tiga beradik, Tai berasal dari Taman Seri Watan, Ampang, Selangor. Beliau sangat fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia walaupun saban hari hanya bercakap dalam Bahasa Inggeris sama ada di kampus atau pun di tempat kerja beliau.

ADAT DAN BUDAYA

Ditanya kenapa mengucapkan salam semasa terserempak dengan penulis, katanya itulah cara orang Islam menyapa.

"Saya dah pergi ke beberapa negara. Adat serta budaya adalah antara perkara yang saya belajar di semua tempat itu. Saya diajar dan dididik ibu bapa saya menghormati orang lain.

"Jadi, sebab itulah saya memberi salam. Saya percaya bahawa kita semua sama, setiap orang di dunia ini ada persamaan. Hanya bahasa, budaya dan bangsa yang berbeza tetapi selain itu, kita semua sama," tegas Tai.

Ketika Tai memberi salam buat pertama kali ketika terserempak dengan penulis, penulis pada mulanya tidak menghiraukan kerana pada lazimnya petugas di tempat tarikan pelancong atau penduduk di sesuatu kawasan yang terkenal sebagai destinasi pelancongan memang mengetahui banyak bahasa asing.

Mungkin kerana mereka telah berjumpa dengan pelbagai bangsa dari seluruh dunia.

Tetapi apabila penulis dan rakan memasuki Perkampungan Samoa dan diberikan salam barulah kami menyedari bahawa beliau adalah rakyat Malaysia yang memang mirip wajah dan bentuk badan orang Samoa.

Tai memang mengetahui kami adalah rakyat Malaysia kerana beliau terdengar kami bercakap Bahasa Malaysia semasa berjalan-jalan melihat perkampungan di pusat itu.

Beliau berketurunan campuran India dan Cina dan anak seorang jurutera manakala ibunya Dolly, 48, seorang surirumah. Sebelum melanjutkan pengajian ke BYU, beliau melibatkan diri dengan kerja-kerja sukarela yang membawanya ke beberapa negara asing.

RANCANGAN MASA DEPAN

Mengenai rancangan selepas tamat pengajian, Tai berkata beliau ingin melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat sarjana.

Beliau juga berkata Hawaii adalah pilihannya kerana pelbagai faktor seperti ramai pelancong, pantai yang terkenal di dunia iaitu Pantai Waikiki, tarikan alam semula jadi dan tempat bersejarah di Pearl Harbou r.

Ketika ditanya sama ada berhasrat melawat Samoa, Tai yang boleh bertutur dan memahami sedikit bahasa Samoa berkata beliau bercadang melawat negara itu tetapi bukan dalam masa terdekat ini.

Pusat Kebudayaan Polynesia yang terletak di kawasan seluas 17 hektar milik BYU di Laie, utara Oahu, Hawaii ditubuhkan pada 12 Okt 1963. Lebih 32 juta pelawat dari seluruh dunia mengunjungi PCC sejak ia ditubuhkan hampir 47 tahun.

PCC dibuka setiap hari kecuali hari Ahad dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Majlis Tertinggi Mahasiswa - Kolej Sri Rajang's Fan Box