Thursday, June 24, 2010

Teknologi & Ekonomi Hijau Tangani Isu Pemanasan Sejagat

Artikel sebanyak enam siri ini merungkai beberapa isu alam sekitar seperti pemanasan sejagat, kepentingan air, sistem ekologi, kepelbagaian biologi dan Ekonomi Hijau.

Ini ialah bahagian akhir daripada enam rencana.

Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 23 Jun (BERNAMA) - 'Hijau' sering dikaitkan dengan alam semula jadi dan apabila ia ditambah kepada 'teknologi' dan 'ekonomi', terpancar seribu macam jangkaan dan harapan.

Ketika debat perubahan iklim dan pemanasan sejagat menjadi lebih hangat, mengambil inisiatif 'hijau' dilihat satu usaha yang semakin perlu dipertimbang.

Inilah yang dilakukan oleh syarikat dan organisasi, satu demi satu tampil meuar-uarkan inisiatif 'hijau' mereka. S. Piarapakaran, Pengurus Kanan (Alam Sekitar, Tenaga & Air) Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) berkongsi pemerhatiannya dengan Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

LEBIH DARI WARNA

'Hijau' bukan setakat warna. Itu pada zahirnya sahaja, kata Piarapakaran, sambil menegaskan bahawa menjadi hijau banyak cabarannya.

"Teknologi mesra alam itulah sebenarnya teknologi hijau. Penggunaannya mengurangkan impak kepada alam sekitar disebabkan proses pembangunan serta penggunaan," jelasnya.

"Intipatinya, teknologi hijau saling berkait dari setiap aspek kehidupan dan tingkah laku kita," tambahnya.

Anthony Tan, pengarah eksekutif Pusat Alam Sekitar, Teknologi dan Pembangunan (Cetdem) senada dalam pendapatnya dengan berkata teknologi hijau ialah sebarang teknologi yang dapat membantu mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar.

"Ia bukan sekadar penjanaan elektrik. Bagaimana kita bina bangunan dan bahan yang digunakan. Industri apa yang kita bawa masuk ke Malaysia, sama ada ia menggunakan banyak tenaga. Itu adalah teknologi hijau," katanya sambil memberi contoh kepada Bernama dalam wawancara di pejabat Cetdem di Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurut Tan, teknologi hijau bukan semata-mata bermakna teknologi penting tetapi juga membabitkan teknologi yang dibangunkan dalam negeri, umpamanya berkait dengan industri minyak sawit.

"Kalau bercakap tentang cara paling sedikit menghasilkan pencemaran sama ada mengendalikan kilang kelapa sawit atau ladang kelapa sawit, itu sebenarnya teknologi tempatan yang kita boleh eksport ke negara seperti Indonesia atau Thailand," jelasnya.

EKONOMI HIJAU

Bercakap mengenai 'ekonomi hijau', Piarapakaran mengenal pasti tiga komponen utama yang perlu menjadi fokus, iaitu kerajaan, sektor industri dan perdagangan serta pengguna domestik.

Katanya perubahan dalam kaedah pembelian kerajaan, bangunan, amalan dan sikap pegawai sektor awam sudah pasti akan memberi impak besar.

"Kita tidak boleh mewujudkan bandar atau agensi hijau. Orangnya perlu dihijaukan terlebih dahulu. Ini membuka gelombang pertama ekonomi hijau.

"Untuk sektor perindustrian dan perdagangan pula, bolehkah mereka menukar operasi menjadi hijau? Kalau bercakap tentang menukar kaedah operasi, mereka sering merujuk kepada Pulangan Pelaburan (ROI).

"Ini memerlukan komitmen pengurusan tinggi. Kebiasaannya bertukar kepada amalan hijau membabitkan pelaburan tetapi pada jangka masa panjang, ia lebih menjimatkan.

"Pengguna domestik perlu juga menjadi hijau dan untuk menjadi mesra alam boleh dilakukan melalui banyak amalan yang mudah," jelasnya.

Piarapakaran memberi beberapa contoh iaitu membeli produk cekap tenaga dan air yang akan mengurangkan impak kepada alam sekitar di samping perbelanjaan.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa membangunkan permintaan untuk produk hijau bukan mudah, sering kali akan berlaku dakwaan yang mengelirukan dan akhirnya pengguna juga yang menjadi mangsa penipuan.

SUMBER HIJAU

Ekonomi hijau perlu meliputi semua peringkat pembangunan dan matlamat akhirnya ialah untuk mencapai pertumbuhan hijau. Ini pandangan Asfaazam Kasbani, penolong wakil residen Program Pembangunan Bangsa Bersatu (UNDP), pejabat Malaysia.

"Ekonomi negara ini sebahagian besarnya bergantung kepada bahan api fosil, sering kali dirujuk sebagai ekonomi coklat atau hitam.

"Sebaliknya bahan bakar hijau atau boleh dibaharui sebahagian besarnya menyumbang kepada ekonomi hijau dan ini akan mengambil masa. Ia tidak boleh berlaku esok, 10 tahun atau 20 tahun akan datang.

"Tempohnya mungkin lebih panjang, kemungkinan 30 hingga 50 tahun atau lebih.

"Malaysia boleh mencontohi sesetengah negara maju yang mampu mengurus ekonomi 'industri yang banyak menggunakan tenaga' serta mengurangkan impak ke atas alam sekitar.

Jerman dan Denmark, katanya, menjana sekitar 15 peratus keperluan elektrik mereka daripada tenaga boleh dibaharui seperti turbin angin dan solar PV (photovoltaic).

"Negara berkenaan mengambil masa 50 tahun untuk mencapai kepada peringkat sekarang. Yang bagusnya kita boleh belajar daripada pengalaman negara-negara berkenaan dan tidak mengulangi kesilapan yang mereka lakukan," tegas Asfaazam yang juga pengurus kanan program, alam sekitar dan tenaga UNDP.

KAWAL PENGANGKUTAN

Malaysia sepatutnya sudah mengorak langkah ke arah ekonomi hijau beberapa tahun lepas di sebalik hakikat ia mempunyai sumber asli yang banyak termasuk petroleum.

"Simpanan minyak Malaysia mungkin boleh bertahan untuk tempoh 10 hingga 15 tahun. Ini sewajarnya memerlukan penggunaan yang berhemat. Menjelang 2015 atau 2020, Malaysia akan menjadi negara pengimport minyak. Untuk itu tiada pilihan selain bermula daripada sekarang," kata Asfaazam merujuk kepada ekonomi hijau.

Beliau turut menegaskan satu daripada tonggak ekonomi hijau ialah sektor pengangkutan dengan mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya.

"Di negara ini, masih ramai yang menggunakan kenderaan sendiri ke tempat kerja. Di negara maju, pengangkutan awam menjadi pilihan utama," katanya, sambil menambah kata terdapat keperluan untuk menambah baik dasar dan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

CARI ALTERNATIF

Dr Loh Chi Leong, Pengarah Eksekutif Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berkata satu daripada alternatif menggantikan petrol untuk kenderaan bermotor ialah gas asli kerana ia kurang pencemaran di samping kenderaan elektrik dan menggunakan bateri.

Dalam mengakui pelaburan awal untuk alternatif berkenaan, tetapi akan menjimatkan dalam masa jangka panjang.

"Untuk ini anda memerlukan komitmen awal daripada pembuat keputusan tertinggi. Sekali lagi ini memerlukan kesungguhan. Di New Delhi mereka mengambil langkah ini serta merta. Mereka membuat pengisytiharan semua bas mesti menggunakan gas.

"Negara lain juga mengambil langkah yang sama, malahan di Los Angeles juga. Mereka hanya bertindak apabila pencemaran udara semakin serius," kata Dr Loh.

Kata beliau terdapat juga peranti penjimatan tenaga yang boleh digunakan dan menjimatkan kewangan negara pada jangka masa panjang cuma ia mungkin terlalu tinggi untuk golongan berpendapatan sederhana.

Satu daripada peranti itu, katanya, ialah Solar Photovoltaics (PVs) yang boleh menukar radiasi matahari kepada arus elektrik secara langsung.

Menurut beliau kajian menunjukkan Solar PVs sebenarnya menghasilkan lebih banyak tenaga daripada yang diperlukan untuk sesebuah rumah cuma ini menimbulkan masalah simpanan.

"Ini ialah tenaga hijau, tenaga yang boleh dibaharui dan satu daripada jalan penyelesaian untuk kita jika kita boleh selesaikan masalah simpanan untuk elektrik yang dijana," kata Dr Loh.

Dr Loh juga bercakap mengenai mentol penjimatan lampu yang harganya lebih mahal daripada yang biasa dan masih tidak menjadi pilihan kebanyakan pengguna.

"Jika kerajaan boleh memberi subsidi dan semua orang membelinya, pengguna tenaga akan jatuh di bawah paras pelaburan peringkat awal," katanya.

PEMBAZIRAN TENAGA

Penggunaan bahan api fosil untuk menjana elektrik di Malaysia masih tinggi, demikian kata Piarapakaran yang juga Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM).

Memandang ketiadaan alternatif lain, pengguna akan menerima kesan setiap kali berlaku kenaikan harga petroleum di peringkat antarabangsa.

Beliau memetik kajian oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang mendapati kira-kira 48 peratus tenaga dibazirkan dalam proses dibekalkan kepada pengguna.

"Pembaziran tenaga di Malaysia ialah kerana pembangunan tidak dirancang. Bahan api fosil dibazirkan akibat kesesakan lalu lintas. Perkakas elektrik yang membazirkan tenaga dijual tanpa kawalan dan terdapat juga perlaksanaan dasar yang mendorong kepada pembaziran.

"Sebagai contoh, Dasar Automotif Nasional yang membantu rakyat Malaysia untuk memiliki kereta dengan mudah tetapi terdapat keperluan untuk mendapatkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar yang tinggi," kata Piarapakaran.

Beliau menggesa penyatuan Sektor Tenaga di bawah sebuah kementerian untuk tugas dasar serta agensi pengawalan. Tanpa semuanya itu, kata beliau, Malaysia akan menanggung impak teruk apabila berlaku krisis tenaga.

PILIH TENAGA NUKLEAR?

Banyak yang diperdebat mengenai hasrat Malaysia untuk meneroka kuasa nuklear sejak kerajaan membuat kenyataan mengenainya awal Mei tahun ini.

Menteri Tenaga, Teknologu Hijau dan Air, Datuk Peter Chin berkata loji nuklear 1,000 megawat pertama Malaysia yang dijangka menelan kos AS$3.1 bilion mungkin dibina pada 2021.

Penggunaan tenaga elektrik di Malaysia pada masa ini ialah 14,000 megawat sementara kapasiti menyeluruh ialah 23,000 MW. Menteri itu berkata Malaysia akan menjangkau paras kritikal pada 2017.

"Pihak kami banyak kali membuat kenyataan bahawa uranium, plutonium dan thorium (bahan api yang boleh digunakan untuk reaktor nuklear) ialah sumber yang tidak boleh dibaharui dan akan pupus pada suatu hari nanti.

"Nuklear bukanlah penyelesaiannya. Ia mungkin membantu Malaysia untuk memperbaiki campuran tenaga dalam jangka masa pendek.

"Soal menempatkan loji nuklear juga isu kritikal. Kita mesti ingat sisa nuklear akan disimpan untuk tempoh yang panjang. Jika kita simpan, kebocoran akan menimbulkan bencana besar untuk kita," kata Piarapakaran.

PERTIMBANGAN LAIN

Tan dari Cetdem bertegas Malaysia tidak memerlukan loji nuklear dan sumber kewangan yang dicadangkan itu boleh digunakan untuk pelaburan lain seperti sistem soalr PV.

Menurut beliau malangnga pemasangan solar PV pada masa ini amat mahal kosnya di Malaysia.

Bagaimanapun, di Denmark dan Jerman, katanya solar PV adalah sebahagian daripada pemasangan rumah dan cara hidup rakyatnya.

"Sekiranya semakin ramai orang menjana tenaga elektrik di rumah, tak perlulah kita kepada stesen janakuasa tambahan, mahu pun stesen kuasa nuklear.

"Kecekapan tenaga ialah sesuatu yang Cetdem sering kemukakan kepada kerajaan untuk ditimbangkan. Jika anda melihat kecekapan tenaga, ia seperti pohon yang berbuah rendah, senang nak petik," tambahnya.

Dr Loh dari MNS memberitahu Bernama bahawa apa yang diperlukan pada masa ini ialah satu pelan tenaga bersepadu di mana kerajaan mesti membentangkan kepada rakyat untuk dibahaskan.

"Kita dengar macam-macam, ada yang mahukan loji kuasa nuklear, ada yang mahukan lebih banyak loji menggunakan arang batu dan air.

"Sebenarnya kita perlukan satu dokumen kerajaan yang menyatakan apa yang terbaik untuk Malaysia, apa yang akan memberi pulangan terbaik dan menyebabkan kerosakan paling sedikit," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Majlis Tertinggi Mahasiswa - Kolej Sri Rajang's Fan Box