Tuesday, June 22, 2010

Seni Reka Cipta Melahirkan Belia Berinovasi


KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Inovasi ialah asas kepada pertumbuhan dan kemajuan sesebuah negara. Ia pemangkin yang akan menentukan acuan dan kepantasan negara untuk menjadi sebuah negara maju.

Bagi Malaysia, ia merupakan teras dalam peralihan, daripada ekonomi berasaskan pertanian, kepada ekonomi yang diterajui teknologi di masa hadapan. Ia juga penting dalam mengekalkan kelebihan daya saing negara.

Perubahan teknologi pesat yang berlaku hari ini memerlukan kerajaan dan industri meletakkan inovasi dan daya kreatif sebagai faktor utama dalam memastikan anjakan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dapat dicapai.

Jika kita perhatikan negara seperti Finland, Australia dan Jepun, mereka merupakan negara berdaya maju kerana mereka mempunyai inovasi yang tinggi.

Inovasi merupakan enjin untuk kemajuan negara. "Jika ada enjin (inovasi), maka negara kita boleh maju. Ini kerana, tanpa inovasi dan kreativiti yang tinggi, sesebuah negara itu pasti akan mundur," jelas Tan Yeow Kiang atau lebih dikenali sebagai Uncle Bugs dalam temubualnya bersama Bernama.

Tan Yew Kiang merupakan seorang pereka cipta Malaysia yang banyak memberikan sumbangan dari segi teknologi dan reka cipta kepada negara. Beliau pernah memenangi beberapa anugerah seperti Anugerah Inovasi Negara dari Akademi Sains Malaysia dan yang terbaru, beliau meraih Anugerah Inovasi Terbaik India 2009.

BELIA DAN INOVASI TEKNOLOGI

Belia memainkan peranan penting dalam meningkatkan taraf kemajuan negara. Belia yang berinovasi dapat menghasilkan sebuah negara maju dan berteknologi tinggi. Justeru itu, belia digalakkan untuk bergerak aktif di dalam bidang reka cipta.

Menurut Tan, untuk mencipta sesuatu, perkara pertama yang perlu dilihat ialah permintaan pasaran. "Kita perlu pastikan bahawa idea yang kita ada itu memenuhi kehendak pasaran.

"Sekiranya sesuatu perkara itu direka untuk kepuasan diri sendiri, maka ia merupakan idea yang tidak bagus dan tidak berinovasi. Idea yang bagus merupakan idea yang boleh dikomersilkan," kata Tan.

Sehubungan itu, bagi menghasilkan idea yang bertepatan dengan kehendak pasaran, belia perlu berusaha dengan lebih gigih. Langkah pertama yang perlu diambil ialah dengan melakukan kajian tentang keaslian sesuatu produk yang dihasilkan.

"Kita perlu pastikan bahawa idea yang dihasilkan tidak bertindih atau menyerupai idea orang lain. Caranya ialah dengan membuat semakan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) atau di United States Patent and Trademark Office (USPTO)," tambahnya.

KREATIVITI BOLEH DITERAP

Belia sememangnya mempunyai banyak idea dan lebih aktif berbanding orang yang lebih berusia. Belia yang berinovasi dapat mengenal pasti masalah yang wujud di sekeliling mereka.

Apabila mereka dapat mengenal pasti masalah, mereka berpeluang untuk mencari penyelesaiannya dengan mencipta sesuatu produk atau proses untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Dari situ, maka wujudlah generasi muda yang berinovasi di mana mereka menghasilkan produk berteknologi tinggi untuk kemudahan pengguna, katanya.

Untuk mencipta sesuatu, seseorang itu perlu menjadi kreatif. Namun begitu, lazimnya kreativiti bukanlah suatu anugerah yang dikecapi sejak lahir, ia merupakan sesuatu yang boleh diterap dalam diri setiap individu.

"Untuk mencipta sesuatu, kita tidak semestinya menjadi seorang saintis ataupun mempunyai ijazah kedoktoran dan sebagainya. Apabila kita lihat peluang yang ada di depan mata, kita harus mengambil kesempatan di atas peluang yang ada dan mencipta sesuatu berdasarkan peluang itu," Tan mengulas.

"Ramai belia di Malaysia gemar menghabiskan masa dengan melepak, bermain permainan video, menonton tv dan aktiviti lain yang tidak berfaedah. Ia merupakan satu kerugian kepada mereka.

"Bagi pendapat saya, kerajaan perlu mewujudkan serta meningkatkan saluran untuk reka cipta seperti mengadakan pertandingan, bengkel serta kelab bagi meningkatkan kreativiti dalam diri mereka," sambung beliau.

INOVASI TEKNOLOGI DALAM PENDIDIKAN

Tan berpendapat seni reka cipta seharusnya diterapkan di dalam kokurikulum seperti yang dilakukan oleh negara seperti Finland, Korea dan Jepun.

Di negara-negara itu, reka cipta merupakan satu subjek pembelajaran di sekolah. Terdapat guru yang mengajar subjek itut seperti asas kreativiti dan bagaimana mereka mencipta sesuatu benda.

"Malangnya, pendidikan di Malaysia tidak menerapkan subjek sebegitu di dalam pembelajaran. Perkara ini merupakan satu kerugian kepada negara kita yang memerlukan inovasi teknologi tinggi bagi memajukan negara," katanya.

Tan juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan lebih banyak persatuan untuk reka cipta, menyumbang lebih banyak pertandingan peringkat nasional ataupun antarabangsa serta menjadikan reka cipta sebagai satu daripada mata pelajaran serta kaedah dalam pembelajaran.

Selain itu juga, bagi meningkatkan taraf kemajuan negara dan kesedaran belia terhadap inovasi, ibu bapa serta guru turut memainkan peranan penting, mengenal pasti anak-anak yang mempunyai potensi mencipta sesuatu.

"Mereka tidak seharusnya memikirkan bahawa apa yang dicipta atau idea yang disampaikan oleh anak-anak sebagai sesuatu yang tidak logik dan mustahil untuk dilakukan. Mereka seharusnya memberi galakan dan sokongan terhadap setiap perkara yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Dari situ, ia dapat mengubah pemikiran anak-anak supaya lebih bersemangat dalam setiap apa yang mereka lakukan," jelas beliau.

CABARAN DAN HALANGAN

Pelbagai halangan yang akan dihadapi belia yang menceburi bidang reka cipta ini terutama di dalam melakukan proses penyelidikan dan pembangunan (R & D). Banyak wang serta masa yang perlu dikorbankan dalam usaha mencipta produk yang berguna kepada pembangunan negara.

Disebabkan itu, menurut Tan, terdapat dua buah agensi iaitu Multimedia Development Corporation (MDeC) dan Cradle Fund Sdn Bhd di mana kedua-dua agensi ini memberi sumbangan sebanyak RM150 ribu untuk belia berumur 18 tahun ke atas bagi menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan.

"Perkara paling penting yang perlu ada dalam diri belia ialah perasaan minat serta kesabaran yang tinggi terhadap reka cipta. Ini kerana, dalam bidang reka cipta ini, belia akan menghadapi pelbagai jenis cabaran. Belia mungkin akan menghadapi kegagalan demi kegagalan sebelum mereka mencapai apa yang mereka ingini," tegas Tan.

Minat terhadap reka cipta perlu diterapkan dalam diri belia sejak mereka di zaman kanak-kanak lagi.

"Saya ada dua orang anak. Sejak mereka berumur tujuh tahun, saya sudah menyuruh mereka mencipta sekurang-kurangnya satu benda dalam tempoh sebulan. Oleh itu, sejak kecil lagi mereka sudah menjadi seorang pencipta. Dari situ juga, saya menggalakkan mereka berfikir di luar jangkaan," kata Tan.

Tan turut memperkenal dua produk terbarunya, siri animasi "Robot Boleh" dan beberapa terbitan buku untuk menggalakkan anak-anak Malaysia menceburi bidang inovasi teknologi ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Majlis Tertinggi Mahasiswa - Kolej Sri Rajang's Fan Box